Saturday, December 26, 2009

1 Perkara Yang Wajib Ada Pada Setiap Blogshopper

Pengunjung kafeteria masih belum surut, malah bertambah-tambah lagi. Barangkali waktu makan tengah hari mereka memang awal sedikit di sini. Walaupun pengunjung ramai dan suasana mula bising tuan Zamri masih kelihatan bersemangat untuk meneruskan kisah beliau.

"Tuan pasti sedia maklum, setiap perkara sebelum dimulakan harus asasnya sudah kukuh, sudah mantap barulah diteruskan langkahnya. Betul?"

Saya angguk. Itu sememangnya betul. Tuan Zamri puas hati lalu meneruskan hujahnya.

"Asas untuk berbisnes pada saya hanya ada satu sahaja. Yang satu inilah yang paling penting kerana ia akan membentuk cara kita menjual."

Tuan Zamri berhenti sebentar, memberikan penegasan kepada apa yang ingin disampaikan sebentar lagi.

"Asas tersebut adalah I.H.S.A.N - Ihsan."

"Maksud tuan empathy?" Saya perlu berkata sesuatu. jika tidak sesi ini akan jadi sesi monolog.

Zamri tersenyum besar menunjukkan sebaris gigi yang tersusun rapi.

"Ya, lebih kurang begitu. Ihsan ini adalah asas yang paling penting. Jika sesorang itu ada ihsan dia mempunyai keupayaan untuk melihat sesuatu dari sudut pandang orang lain. Jika penjual mempunyai empathy yang tinggi, dia mampu menjual produk beliau dari sudut pandang pelanggannya. Maka penjual itu akan tahu produk tersebut sesuai atau tidak. Pelanggan tersebut boleh dijual padanya atau tidak. Jika Blogshopper mempunyai ihsan, segala tulisan beliau akan berkisar tentang pelanggannya dan bagaimana produk beliau mampu membantu pembaca blog beliau. Dan itu adalah formula penting membina Blogshop yang menjual!"

Saya lekas-lekas menulis nota. Takut-takut terlupa pula nanti.

"Apa maksud tuan dengan Blogshop?" Malu-malu saya bertanya. Kata guru saya, malu bertanya sesat jalan.

Selesai menghirup air cincau terus tuan Zamri memberi pencerahan.

"Blogshop adalah blog jualan. Blog penjual yang kerjanya khusus untuk membuat jualan. Saya suka menggelarnya Blogshop, lebih mudah diingati. Blogshopper pula adalah pemilik Blogshop tadi. Mudah dirujuk sebegitu."

Saya mengangguk dan tangan terus ribut menulis nota.

Daripada penerangan tuan Zamri tadi, saya merumuskan bahawa penjual yang bagus perlu memandang produk jualan beliau dari sudut pandang seorang pelanggan. Penjual perlu empathy atau ihsan terhadap bakal pelanggan. Teringat pula saya pada sebuah artikel berkenaan empathy dalam jualan.

"Saya pernah terbaca tentang empathy dalam penulisan jualan. Katanya cara yang paling mudah untuk mengetahui tentang pelanggan adalah dengan bertanya terus kepada bakal pelanggan. Mungkin Blogshopper tadi perlu bertanya kepada beberapa bakal pelanggan untuk mendapakan gambaran ringkas tentang pelanggan-pelanggan yang lain."

Mata Zamri bersinar menunjukkan otaknya sedang mencanai idea-idea baru. Dia sememangnya begitu dari dahulu lagi; begitu pantas mencanai idea tidak kira masa.

"Ya, itu satu maklumat yang bagus! Tuan ini bakal blogshopper yang hebat. Mungkin anak murid akan mengatasi sensei-nya kelak!"

Ketawa kami tenggelam dalam keriuhan kafeteria yang semakin gamat dengan pengunjung.


Thursday, December 24, 2009

Menjual dengan blog

Sudah lama saya tidak bertemu dengan rakan saya yang seorang ini. Jadi bila saya terlihat beliau seorang diri bertemankan laptopnya di kafeteria terus sahaja saya menegurnya.

"Salam, tuan Zamri! Sudah lama tidak bertemu. Kenapa seorang diri sahaja dikeriuhan ini? Marka sudah larikah?"

Zamri terkejut tetapi jelas gembira melihat saya. Selepas tawa kecil beliau menjelaskan:

"Marka pun tidak ada, macamana pula dia mahu lari?! Saya tengah berbisnes ni. Melakukan jualan dalam talian."

Dahi saya berkerut. Orang lain begitu susah menjual secara berdepan-depan, bagaimana pula beliau ini menjual dalam talian?

"Eh, boleh pula tuan menjual dalam talian? Bagaimana?"

Teguran mudah daripada rakan kepada rakan tadi menjadi titik mula sebuah idea yang berkembang menjadi satu rangka kerja menjual melalui blog yang mudah diikuti.

Teknik yang beliau gunakan adalah mudah iaitu menggunakan perkhidmatan blog yang disediakan pihak blogspot.com secara percuma sebagai pengganti beliau melakukan jualan. Blog beliau adalah blog jualan!

Biasa kita dengar blog hanyalah tempat anak muda menulis aktiviti harian atau aktivis-aktivis haluan kiri yang sarat dengan ideologi yang sukar difahami. Tetapi blog jualan? Tidak pernah saya jumpa.

Kata tuan Zamri terus-terusan saya ingat hingga ke hari ini:

"Blog adalah alat perhubungan. Jika orang lain memilih menggunakannya sebagai diari atau majalah, saya memilihnya menjadi salesman saya! Cuma cara menulisnya perlu ada teknik. Ini supaya blog kita itu menjadi blog yang mampu menjual secara berhikmah. Bukan menjadi blog yang dibenci orang sebagaimana orang membenci penjual kertas gores dan menang."

Saya begitu teruja. Ini ilmu baru. Tidak tahu pula saya yang menulis blog jualan ada tekniknya. Nampaknya rakan saya yang seorang ini bukan calang-calang orangnya!

"Tuan kelihatan kacak hari ini. Buat saya terhibur mahu belanja tuan semangkuk mi kari mak cik kiah yang anaknya comel itu. Tuan mahu order berapa mangkuk?"

"Hahaha, beri saya satu mangkuk istimewa! Mari saya ajar tuan teknik menulis blog jualan sementara menunggu mi itu siap"