Friday, April 23, 2010

Tip Blog Shop | Jadikan pelanggan berasa dirinya nombor satu

Bengkel Blogshop untuk pemula klik di sini

Seorang peniaga bertanya, “Bagaimana menjadikan pelanggan di blog shop berasa dirinya penting dan dihargai peniaga?

Pelanggan adalah individu nombor satu dalam iklan jualan. Segala-galanya berkaitan beliau, bukan peniaga. Kerana kuasa membeli akhirnya terletak pada tangan mereka.

Iklan jualan yang ditulis berkenaan pelanggan. Iklan jualan yang fokus kepada pelanggan menjadi individu yang membaca berasa penting dan mempunyai kaitan pada skrip jualan itu.

Perkataan anda kerap digunakan dalam iklan jualan. Pertimbangkan untuk menggunakan perkataan saudara, kita, tuan dan puan sebagai ganti kepada perkataan anda

Perkataan anda adalah bersifat atas ke bawah. Ia bersifat autoritatif. Perkataan anda menggambarkan penjual berada pada kedudukan lebih tinggi berbanding pelanggan.

Adab iklan jualan di negara Barat dan Asia Tenggara adalah berbeza. Di negara Barat perkataan anda atau you menjadi sebahagian daripada budaya yang diterima.

Bagi komuniti Asia Tenggara, mereka masih menghormati simbol kuasa dan kedudukan seseorang. Santun bahasa masyarakat Asia mementingkan kepada siapa perkataan itu dituju.

  • Perkataan anda bagi sebahagian pelanggan dilihat sebagai merendah-rendahkan diri beliau.
  • Perkataan anda bagi sebahagian pelanggan tidak berasa apa-apa dan menganggap ia perkataan biasa.
  • Perkataan saudara atau pun saudari menjadikan komunikasi pelanggan dan peniaga pada kedudukan neutral.
  • Perkataan tuan dan puan merujuk kepada sikap hormat kepada pelanggan.

Isu berkaitan perkataan anda tidak dibincangkan dalam pemasaran perniagaan kecil di internet. Tetapi penggunaanya masih memberi kesan kepada penerima mesej yang berlatar tahap sosio-ekonomi dan peringkat yang berbeza.

Dalam iklan jualan, letakkan diri pada kedudukan neutral atau gunakan rujukan hormat pada pelanggan.

Apabila kita tidak tahu latar belakang pelanggan, elak daripada menggunakan perkataan anda. Situasi lebih selamat dan mengurangkan risiko hilang pelanggan berpotensi.

Kita mungkin tidak kehilangan pelanggan sedia ada, tetapi kita hilang pelanggan yang sudah hampir mahu menggunakan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Tidak rugi tetapi hilang angka tambahan. Meskipun seorang, ia tetap bernama jualan. Meskipun satu jualan, ia tetap dipanggil keuntungan.



Bengkel Blogshop untuk pemula klik di sini




---------




Entri ini disediakan oleh Zamri Mohamad, penjual produk online, jurulatih pemasaran produk di internet dan pembimbing penulisan iklan jualan untuk akhbar, majalah dan laman web. Beliau telah menulis trilogi buku pemasaran produk di internet iaitu Internet Marketing untuk Bisnes Kecil, Buat Duit dengan You Tube dan Urus Bisnes dengan Google. Klik pada judul buku untuk maklumat lanjut atau kunjungi rangkaian kedai buku MPH, POPULAR, TIMES dan kedai-kedai buku seluruh negara.

No comments:

Post a Comment