Friday, April 23, 2010

Tip Blog Shop | Testimonial teks dan gambar



Bengkel Blogshop untuk pemula klik di sini

Seorang peniaga bertanya, “Bagaimana saya mahu tentukan antara testimonial yang baik dan yang buruk?”

Penggunaan testimonial dalam laman blog shop pada bahagian pages atau pun dalam entri produk membantu mengangkat kredibilit produk dan perkhidmatan kita.

Ia memberi kepercayaan kepada pelanggan kerana adanya bukti-bukti sahih yang berpuas hati menggunakan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Testimonial juga adalah susunan ayat yang memberitahu mengapa pelanggan mesti membeli.

Jenis-jenis testimonial dibahagikan kepada kumpulan berikut.

  • Testimonial teks dan gambar
  • Testimonial paparan media
  • Testimonial logo
  • Testimonial bergambar

  • Teknik pertama
Testimonial teks dan gambar

Contoh testimonial berserta imej

Dalam blog shop, testimonial dipaparkan dalam dua keadaan. Jenis pertama, testimonial mengandungi foto beserta nama, lokasi dan kedudukan beliau yang relevan untuk dikaitkan dengan produk dan perkhidmatan.

Jenis kedua, testimonial yang mengandungi nama, lokasi, kedudukan beliau tetapi tidak disertakan foto.

Testimonial menggunakan tokoh, selebriti

Kedua-dua kaedah ini membantu menguatkan iklan jualan dalam dua keadaan berbeza.

Testimonial tanpa foto sesuai digunakan bagi individu yang diketahui ramai. Nama individu itu sendiri sudah menggambarkan kredibiliti beliau memberi pandangan terhadap apa yang ditawarkan oleh peniaga terbabit.

Testimonial pengguna produk

Pengguna produk dan perkhidmatan kita adalah individu yang berpengaruh bagi dijadikan bahan untuk testimonial.

Mohon kerjasama mereka memberikan pandangan positif mereka terhadap produk dan perkhidmatan yang digunakan. Paparan foto mereka memberi sentuhan yang lebih hidup.

Testimonial pengguna produk boleh diperolehi melalui kiriman e-mel bagi mengetahui respon mereka. Mohon izin daripada mereka bagi menggunakan testimonial yang diterima melalui e-mel.

Carian daripada enjin Google juga membantu saudara mengenalpasti apakah respon pembeli produk dan perkhidmatan yang dibeli sebelum ini.

Paparan wajah pada testimonial memberi persepsi positif kepada pelanggan bahawa peniaga yang disyorkan adalah dipercayai.

Testimonial menggunakan foto juga sesuai bagi individu yang tidak dikenali oleh pelanggan tetapi dikenali oleh pengamal industri yang sama.

Dapatkah selebriti hiburan dan golongan politik menjual?

Menurut Razzi Armansur, penggunaan individu sebagai testimonial mempunyai risiko tersendiri. Ini termasuklah menggunakan golongan selebriti hiburan dan ahli politik. Meskipun mereka mempunyai khayalak yang ramai, tetapi ia mempunyai jangka hayat sementara.

Selagi mana artis itu popular, selagi itu beliau mempunyai tarikan kepada para peminatnya. Namun demikian, dalam satu keadaan, isu genuine atau kesahihan dalam testimonial yang diberi menjadi soalan yang perlu dijawab oleh peniaga apabila mereka memberi testimonial.

Dalam kebanyakan isu endorsement atau tajaan produk dan menjadi duta, pemilihan mereka adalah atas dasar populariti, bukan kerana mereka pengguna sedia ada kepada produk dan perkhidmatan tersebut. Tetapi ada kekecualian dalam beberapa keadaan.

Saudara boleh menggunakan testimonial selebriti hiburan jika saudara tidak merancang menjadikan produk dan perkhidmatan sebagai sesuatu yang evergreen atau bertahan lama dalam pasaran.

Kesan destruktif juga mempengaruhi jualan produk dan perkhidmatan saudara apabila menggunakan testimonial ahli politik.

Kedudukan mereka yang terbuka kepada orang ramai mendedahkan mereka kepada naik turun dalam karier. Produk dan perkhidmatan yang ditawarkan saudara juga berhadapan risiko hilang pelanggan apabila isu kepartian pelanggan timbul. Ini berlaku kepada negara yang mempunyai nilai sensitiviti politik yang tinggi.

Produk dan perkhidmatan yang ditawarkan tidak cenderung kepada mana-mana kumpulan bagi kekal neutral. Dalam keadaan ini, penggunaan testimonial orang politik tidak dianjurkan.

Selebriti hiburan dan ahli politik sama-sama berhadapan pendedahan media. Isu skandal dan kontroversi terhadap mereka akan memberi kesan sama kepada produk dan perkhidmatan saudara.

Siapakah selebriti dalam jualan produk dan perkhidmatan di internet?

Beri prioriti kepada pengamal bidang dan pelanggan sedia ada sebagai sumber testimonial. Pengamal bidang adalah penjual produk dan perkhidmatan dalam kategori yang sama atau wakil kepada institusi yang berkaitan. Mereka adalah artis dalam industri ini.



Bengkel Blogshop untuk pemula klik di sini




---------




Entri ini disediakan oleh Zamri Mohamad, penjual produk online, jurulatih pemasaran produk di internet dan pembimbing penulisan iklan jualan untuk akhbar, majalah dan laman web. Beliau telah menulis trilogi buku pemasaran produk di internet iaitu Internet Marketing untuk Bisnes Kecil, Buat Duit dengan You Tube dan Urus Bisnes dengan Google. Klik pada judul buku untuk maklumat lanjut atau kunjungi rangkaian kedai buku MPH, POPULAR, TIMES dan kedai-kedai buku seluruh negara.

No comments:

Post a Comment