Tuesday, April 20, 2010

Tip Blog Shop | Ulang pengenalan ringkas pada setiap entri

Bengkel Blogshop untuk pemula klik di sini


Seorang peniaga bertanya kepada saya, “Perlukan saya memperkenalkan diri saya dalam setiap entri blog shop yang saya sediakan?”

Tidak wajib tetapi digalakkan. Pengulangan membantu pelanggan mengingati siapa kita, apa yang kita lakukan dan produk apa yang kita niagakan.

Kaedah pengulangan berlaku pada setiap peringkat hidup. Ia menunjukkan betapa pentingnya pengulangan bagi mengukuhkan tingkah laku. Cara yang sama kita gunakan bagi mengukuhkan tingkahlaku pelanggan.

Pengulangan adalah amalan biasa dalam keluarga. Saudara kenang kembali nasihat ibu yang acapkali disebut setiap kali saudara menghubungi ibu melalui telefon.

Nasihat yang paling konsisten disampaikan oleh ibu itulah dinamakan pengulangan secara fungsional.

Apa pentingnya pengulangan?

  • Pengulangan adalah cara kerja yang sudah lama dipraktikan dalam pelbagai bidang.
  • Pengulangan bertujuan mempercepatkan kerja. Dari segi bisnes mempercepatkan penjenamaan nama kita dalam minda pelanggan.
  • Pengulangan memperkukuhkan kefahaman dan mempercepatkan tindakan. Perkara itu kita usahakan dalam amalan bisnes melalui blog shop.
  • Pengulangan juga dilihat sebagai metod yang digalakkan dalam al Quran.


Pengulangan secara fungsional dapat dilihat dalam hadis Nabi Muhammad. Dalam hadis yang direkodkan oleh Abu Hurairah dan dihimpunkan dalam koleksi hadis Sahih Bukhari, diceritakan kisah seorang lelaki yang datang menemui Nabi Muhammad.

Lelaki ini bertanya kepada Nabi Muhammad, “Siapakah dalam kalangan ahli keluargaku yang perlu diberi layanan yang terbaik?”

Nabi Muhammad menjawab, “Ibumu.”

Lelaki ini bertanya lagi, “Siapakah selepas itu?”

Nabi Muhammad menjawab, “Ibumu.”

Lelaki ini bertanya lagi, “Siapakah selepas itu?”

Nabi Muhammad menjawab, “Ibumu.”

Lelaki ini bertanya lagi, “Siapakah selepas itu?”

Nabi Muhammad menjawab, “Ayahmu.”

Nabi Muhammad menggunakan kaedah pengulangan dengan memberi penekanan kepada subjek yang sama sebanyak tiga kali.

Pengulangan juga dilihat sebagai metod pengajaran yang digalakan dalam al Quran. Beberapa ayat berikut menunjukkan bagaimana Tuhan memberi penekanan sesuatu konsep dalam ayat-ayatnya.

Pengulangan secara fungsional Qurani dalam teks yang sama.

Dalam maksud surah al Luqman ayat ke 12, perkataan syukur disampaikan sebanyak tiga kali dalam satu ayat yang sama.

  • Pertama Allah menggalakkan Luqman bersyukur atas pemberiannya.
  • Kedua Allah menerangkan kesan daripada bersyukur.
  • Ketiga Allah menerangkan kesan mereka yang tidak bersyukur.

Pengulangan secara fungsional Qurani dalam surah yang sama.

Dalam maksud surah al Hujurat ayat pertama hingga ketiga, Allah memberikan penekanan terhadap adab berinteraksi bersama nabi. Pengulangan dalam tiga ayat pertama ini memfokuskan kepada tegahan terhadap berbicara melampaui nabi.

  • Ayat pertama Allah menegah sikap mereka yang mendahului nabi.
  • Ayat kedua Allah menegah perbuatan mereka meninggikan suara kepada nabi.
  • Ayat ketiga Allah menggalakkan mereka menggunakan suara yang rendah.

Pengulangan secara fungsional Qurani dalam surah yang berbeza.

Pengulangan dalam surah yang berbeza ini membawa satu mesej yang sama, menggalakkan manusia berfikir.

  • Pertama, Allah berkata, “Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir,” dalam sebahagian maksud surah al Baqarah, ayat 219. Ayat ini menyentuh keburukan judi dan arak dan manusia perlu berfikir kesan buruknya kepada diri.
  • Kedua, Allah berkata, “Demikianlah kami menjelaskan tanda-tanda kekuasaan (kami) kepada orang-orang berfikir,” dalam sebahagian maksud surah Yunus ayat 24. Ayat ini menyeru manusia berfikir kehebatan kuasa Tuhan mengatur perjalanan alam. Mesej yang sama ditemui sekali lagi dalam surah al Rad ayat keempat.
  • Ketiga, Allah berkata, “Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir,” dalam sebahagian maksud surah al Rum ayat 21. Ayat ini menyeru manusia berfikir kehebatan kuasa Tuhan mencipta manusia yang saling cenderung berkasih sayang satu sama lain.

Pengulangan dari aspek bisnes

Pengulangan adalah proses kerja yang mempercepatkan kerja peniaga dan pada sama mencapai sasaran pelanggan yang berbeza peringkat.

  • Pengulangan bertujuan meneguhkan teknik dan prinsip yang membantu peniaga membuat keputusan.
  • Pengulangan juga menggambarkan sikap peniaga yang komitmen terhadap perniagaan dan produk.
  • Bahan yang diulang dalam entri menunjukkan kepentingan maklumat itu kepada pelanggan.

Kaedah pengulangan di blog shop

  • Pengulangan maklumat peniaga

Jika kita mempunyai lebih daripada satu produk, pengulangan siapa kita adalah kaedah sesuai digunakan pada setiap entri produk yang dipaparkan dalam blog shop.

Sebagai contoh, maklumat peniaga ditulis dan disertakan bersama-sama foto di bawah setiap entri yang ditulisnya. Sebagaimana dilakukan oleh penulis ini yang memberi perkhidmatan kepada pelanggan.


Maklumat peniaga juga dapat dipaparkan tanpa foto peniaga. Cukup sekadar teks di bawah entri produk terbabit.

  • Pengulangan maklumat produk

Kita juga dapat menggantikan maklumat peniaga kepada maklumat produk sahaja. Ini dapat dilakukan apabila kita hanya menjual satu produk sahaja dan hanya menulis entri berkaitan produk atau isu-isu sekeliling produk berkenaan.




  • Masukkan maklumat ulangan di akhir entri

Bagi memasukkan maklumat ulangan berkaitan peniaga dan produk dapat dilakukan seperti berikut. Klik Posting > New Post > masukkan maklumat ulangan di akhir entri. Selesai, klik Publish Post.



Maklumat ulangan ini dapat disalin semula ke dalam entri baru dengan menggunakan kaedah copy paste daripada entri terdahulu.



Bengkel Blogshop untuk pemula klik di sini




---------




Entri ini disediakan oleh Zamri Mohamad, penjual produk online, jurulatih pemasaran produk di internet dan pembimbing penulisan iklan jualan untuk akhbar, majalah dan laman web. Beliau telah menulis trilogi buku pemasaran produk di internet iaitu Internet Marketing untuk Bisnes Kecil, Buat Duit dengan You Tube dan Urus Bisnes dengan Google. Klik pada judul buku untuk maklumat lanjut atau kunjungi rangkaian kedai buku MPH, POPULAR, TIMES dan kedai-kedai buku seluruh negara.

No comments:

Post a Comment